ANGGOTA skuad Tambadau Sabah meraikan kemenangan dan penobatan juara bersama Shafie, Peter dan AMT SAFA serta beberapa tetamu kehormat.

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah menghadiahkan penyokongnya kemenangan 1-0 ke atas Kelantan pada perlawanan terakhirnya sebagai tuan rumah Liga Premier di Stadium Likas sebentar tadi.

Kemenangan itu sekaligus memeriahkan lagi Majlis Penyampaian Piala Juara Liga Premier walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan TYT Tun Juhar Mahiruddin.

Turut bersama ialah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan Pemangku Presiden SAFA Datuk Peter Anthony.

Sebelum orang-orang kenamaan itu bersama-sama lebih 10 ribu penonton dihiburkan dengan aksi yang memihak kepada Tambadau Sabah.

Apapun, kedua-dua pasukan dilihat sedikit sukar menguasai bola berikutan keadaan padang licin akibat hujan lebat yang melanda sepanjang permainan berlangsung.

Kelantan lebih dulu memiliki peluang pada minit ke-7 menerusi penyerang import mereka, Li’mam Seydi, namun cubaan yang berjaya melepasi penjaga gol tuan rumah, Rozaimie Rohim, berjaya dihalang Maffry Balang sebelum bola sempat bergolek masuk ke gawang.

Dua minit kemudian, Alto melakukan rembatan kencang menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti namun terus menuju ke dakapan penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Pada minit ke-19, penyerang import Tambadau, Aguinaldo Mendes Veiga melakukan larian pantas melepasi dua pertahanan lawan tetapi cubaannya selepas itu berjaya diselamatkan Fikri.

Satu lagi peluang Sabah untuk menghasilkan gol ialah pada minit ke-36 apabila bola hantaran lintang Alto Linus terus menuju ke pintu gol dan hampir mengelirukan Fikri namun dia sempat menepisnya keluar.

Bermula babak kedua, Tambadau menggandakan usaha mereka mencari gol dan berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-55 selepas Rodoljub Paunovic dikasari Mohd Farisham Ismail di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, sepakan Paunovic selepas itu berjaya ditepis keluar oleh Fikri seterusnya memberikan sepakan sudut kepada Sabah.

Sepakan sudut yang diambil Ahmet Atayev itu kemudian menceriakan lebih 10,000 penyokong apabila bola gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol dan terus masuk ke dalam gawang bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan cuba mencari gol penyamaan dan hampir memperolehinya pada minit ke-61 namun dua cubaan berturut-turut mereka diselamatkan Rozaimie serta terkena palang.

The Red Warrior itu juga memiliki peluang terbaik pada minit ke-87 menerusi Nik Akif Syahiran yang hanya berdepan Rozaimi tetapi penjaga gol Sabah itu lebih cemerlang menyelamatkan keadaan dan kedudukan 1-0 itu kemudian tamat sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Sumber : Media SAFA

Please follow and like us:
error