Henry Saimpon

 

KOTA KINABALU: Filipina antara destinasi awal skuad Tambadau Sabah menguji kekuatan dalam persiapannya menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Pengurus pasukan, Henry Saimpon berkata, mereka akan ke Filipina untuk dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Kaya FC Iloilo pada 21 Januari dan Stallion Laguna FC pada 23 Januari.

“Ini adalah ujian terbesar pertama pasukan dalam persiapan musim ini. Saya percaya dua perlawanan ini akan memberi tambahan idea yang lebih baik kepada barisan jurulatih memantapkan lagi pasukan.

“Kami mungkin akan membawa 22 pemain ke perlawanan itu termasuk dua calon import yang kini dalam proses akhir menyarung jersi Tambadau musim ini,” kata Henry ketika ditemui di sini hari ini.

Dua calon import yang kini dalam proses akhir menjadi anggota skuad Tambadau ialah Dennis Buschening dan Hector Omar Ramos Lebron.

Dennis, 28, ialah pemain kacukan Thailand-Jerman yang bermain di posisi serangan dan pernah beraksi di liga Jerman serta Thailand.

Ramos, 29, pula ialah bekas penyerang Sabah yang lebih dikenali sebagai Pito pada 2018. Penyerang dari Puerto Rico itu menyumbangkan 20 gol dalam 18 penampilan bersama Sabah.

Dua lagi import Sabah ialah penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic, 34, dan pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae Su, 30, kedua-duanya dikekalkan dari skuad musim lalu.

“Dua perlawanan di Filipina nanti juga¬† ujian baik buat pasukan kita kerana¬† pasukan lawan turut dibarisi ramai pemain import,” kata Henry yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Sabah yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim ini dibimbing ketua jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto. Sabah kembali ke saingan utama bola sepak negara itu selepas muncul juara Ligaa Premier musim lalu.

Sabah akan memulakan cabaran Liga Super musim ini menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 1 Mac.

 

 

Sumber : Media SAFA

Please follow and like us: