PAUNOVIC muncul wira menjaringkan gol kemenangan sekaligus mengesahkan Tambadau ke Liga Super dan menghampirkan  mereka dengan gelaran juara.

Ketuk pintu gelaran juara, tumbangkan JDT II 1-0

JOHOR: Tambadau Sabah mengotakan tekad melakukan kejutan menumpaskan JDT II, 1-0 untuk mengesahkan tempat ke Liga Super.
Kemenangan yang dilakar di Stadium Pasir Gudang sebentar tadi itu juga semakin menghampirkan Tambadau gelaran juara Liga Premier yang kali terakhir dikemaskini 23 tahun lalu.

PAUNOVIC muncul wira menjaringkan gol kemenangan sekaligus mengesahkan Tambadau ke Liga Super dan menghampirkan  mereka dengan gelaran juara.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Tambadau mengumpul 37 mata daripada 17 perlawanan, jumlah yang menjamin tempatnya dalam dua tempat teratas yang diperuntukkan ke Liga Super.

Pasukan tuan rumah hampir memperolehi gol awal menerusi bekas penyerang Sabah, Rozaimi Abd Rahman, yang melakukan rembatan kencang dari dalam kotak penalti, namun ianya sekadar menggegarkan tiang gol lawan.

Tambadau bagaimanapun membalas dengan tiga ancaman berturut-turut menerusi Alto Linus, Aguinaldo Mendes dan Rodoljub Paunovic tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan untuk separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Selepas rehat, Paunovic muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58.
Mendapat boleh dari tengah padang, Paunovic melakukan gerakan solo sebelum melepaskan percubaan kencang dari jarak kira-kira 25 meter menewaskan penjaga gol JDT II.

Ia juga gol peribadi ke-10 Paunovic dalam saingan liga musim ini.
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony yang turut datang memberi sokongan kepada pasukan berkata, ia adalah hasil kerja keras semua.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya yakin kita mampu membuat kejutan di sini dan ternyata ia termakbul.
“Terima kasih dan tahniah kepada semua anggota pasukan.
“Sasaran pertama kita iaitu naik ke Liga Super musim depan sudah tercapai.

“Bagaimanapun masih ada kejayaan yang boleh dicapai iaitu menjuarai Liga Premier.
“Kemenangan malam ini semakin menghampirkan kita. Saya mahu pasukan teruskan usaha.
“Terima kasih juga kepada ribuan penyokong yang datang memberi sokongan,” kata Peter.

PEMAIN dan pegawai Skuad Tambadau Sabah merakamkan riaksi gembira bersama Pemangku Presiden SAFA Datuk Peter Anthony selepas kemenangan 1-0 ke atas JDT II di Stadium Pasir Gudang sebentar tadi. – Gambar ihsan Media SAFA.

oleh

VITALIS G. BINGKASAN | Media SAFA

 

Please follow and like us:
error