KOTA KINABALU: Pasukan Tambadau Sabah kekalkan warna jersi putih dan merah bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia musim ini.

Warna jersi sama juga dipakai skuad Tambadau Sabah ketika menjuarai Liga Premier musim lalu untuk kembali ke saingan utama bola sepak negara dalam Liga Super musim ini.

Pelancaran jersi itu dibuat bersama-sama dengan pengenalan anggota skuad senior Tambadau Sabah, skuad Piala Presiden (bawah 21 tahun) dan Piala Belia (bawah 19 tahun) di Pacific Sutera, di sini malam semalam.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyempurnakan majlis itu.

Ditemui media selepas majlis selsesai, Peter berterima kasih kepada para dermawan yang membolehkan Tambadau Sabah bermain dan menjuarai Liga Premier musim lalu dan meneruskan cabaran dalam Liga Super musim ini.

Katanya, sumbangan dari penaja masih dialu-alukan kerana SAFA perlukan dana bukan sahaja untuk tiga pasukan yang menyertai pertandingan tetapi untuk pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi.

Ditanya sama ada paluan gendang yang dilarang musim lalu akan dibenarkan musim ini, Peter berkata, ia bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Keselamatan.

“Apa sahaja usaha baik untuk pembangunan bola sepak itu kita akan pertimbangkan secara baik cumanya banyak bantahan daripada awal pembentukan pasukan (Tambadau Sabah) tetapi itu sebenarnya bukanlah masalah bagi SAFA kerana semua keputusan yang dibuat adalah demi bola sepak Sabah.

“Kita sebenarnya alu-alukan penyokong-penyokong datang tetapi apa yang kita utamakan di dalam stadium ialah keselamatan di samping disiplin kita sebagai tuan rumah.

“Ianya secara langsung menggambarkan bukan sahaja imej negeri tetapi juga pasukan kita iaitu mempunyai sikap yang begitu baik dan berdisiplin untuk pasukan lawan … Kita tidak mau unsur-unsur seperti keganasan berlaku.

“Yang penting usaha kita sama-sama membangunkan bola sepak negeri seterusnya mendapatkan sekurang-kurang satu piala pada tahun ini,” katanya.

Sambil itu, Ketua Menteri dalam ucapannya yang disampaikan Peter menyeru agar pemain Tambadau Sabah menunjukkan komitmen serta sikap profesionalisme yang tinggi dan berdisiplin kerana ini adalah kunci utama kejayaan.

Shafie turut menasihatkan Safa untuk memastikan pengurusan kewangan dan pentadbiran cekap dan teratur kerana ianya juga salah satu kunci kejayaan pasukan.

“Saya percaya, dengan kepimpinan pengurusan di bawah pimpinan Yang Berhormat Datuk Peter Anthony sebagai presiden SAFA, nescaya kita pasti akan memperoleh kejayaan kelak.

“Saya turut mendoakan agar pasukan bola sepak Tambadau Sabah serta pihak pengurusan akan terus maju jaya ke depan. Semoga Liga Super musim ini akan memberi banyak kejayaan kepada SAFA,” katanya.

Pada majlis itu juga SAFA menyampaikan pengiktirafan `Jasamu Dikenang’ kepada lima bekas pemain bola sepak Sabah iaitu Alinjiran Nulantan, Henry Anjun, Karti Tukimin, Malim Surat seorang pemain bola sepak wanita Laini Ahing.

 

 

Sumber : Media SAFA

Please follow and like us: