KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah sudah ada senarai hampir lengkap bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berkata, Skuad Tambadau Sabah sudah ada senarai hampir lengkap bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya, 26 pemain sudah disenaraikan dan mereka ini hanya mencari seorang pemain lagi bagi melengkapkan senarai 27 pemain yang akan didaftarkan.

Baki satu kekosongan itu dijangka akan diisi dengan pemain import bagi melengkapkan kuota lima import yang dibenarkan mewakili skuad Liga Super.

Empat import dalam skuad Sabah sekarang termasuklah dua muka baru iaitu Hector Omar Ramos Lebron dari Puerto Rico dan Dennis Buschening dari Thailand manakala dua lagi adalah Park Tae Su (Korea Selatan) dan Rodoljub Paunovic (Serbia) yang dikekalkan dari skuad musim lalu.

Ramos adalah bekas penyerang import Sabah 2018 dan lebih dikenali sebagai Pito manakala Dennis adalah pemain penyerang tengah kacukan Thailand-Jerman.

Kedua-dua pemain itu diperkenalkan kepada media bersama dua lagi import tempatan baru iaitu Muhammad Zubir Mohd Azmi dan Wan Muhammad Azraie Wan Teh di pejabat SAFA, kelmarin.

Zubir adalah bekas pemain pertahanan kebangsaan dari Pahang manakala Azraie ialah bekas penjaga gol kebangsaan dari Terengganu.

Turut diperkenalkan ialah penyerang tempatan Sabah yang baru diserapkan musim ini, Shahrizam Sahar.

Shahrizam adalah pemain daerah Semporna dan merupakan penjaring terbanyak dengan 23 gol pada edisi kedua Liga KDM Malaysia 2018-2019.

Peter juga memberitahu bahawa persiapan pasukan di bawah bimbingan ketua jurulatih baru dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto berjalan lancar dan beliau gembira dengan perkembangan prestasi pemain.

“Persiapan kita termasuklah mengadakan dua perlawanan persahabatan di Filipina baru-baru ini di mana kita menang 2-0 ke atas Kaya FC dan menang 2-1 ke atas Stalion FC.

“Kita juga akan menghantar pasukan menyertai Kejohanan Piala Gabenor Jawa Timor 2020 pada 8-20 Februari. Perlawanan ini adalah antara pemanas badan sebelum cabaran Liga Super di mana Sabah akan memulakan aksi menentang PDRM (Polis Diraja Malaysia) di tempat lawan pada 1 Mac,” kata Peter.

SAFA dijangka akan melengkapkan senarai 27 pemain selepas kejohanan di Indonesia.

“Kita tunggu dan lihat,” kata Peter ketika ditanya sama ada baki satu kuota import akan diisi pemain Indonesia.

 

 

Sumber : Media SAFA

Please follow and like us: