Skuad Tambadau Sabah bersama pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, serta bekas pemain negeri itu akan mengadakan program amal minggu ini.

Pengurus Sabah, Henry Saimpon, berkata, mereka akan melawat bekas pemain Sabah di sekitar tahun 70an hingga 80an, Paulus Jimit, di Tambunan yang kini terlantar sejak kira-kira empat tahun lalu kerana mengalami serangan angin ahmar.

“Lawatan itu akan dibuat pada pagi Jumaat ini manakala pada sebelah malam, kami akan mengadakan perlawanan amal untuk beliau (Paulus) serta seorang lagi bekas pemain Sabah dari Pedalaman Atas, Jelius Arurung, yang jatuh sakit dan hilang penglihatan disebabkan masalah buah pinggang.

“Perlawanan amal ini akan berlangsung di Stadium Keningau di antara skuad Tambadau Sabah dan pasukan pilihan Keningau,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Henry berkata perlawanan amal itu akan bermula jam 7 malam dan kehadiran orang ramai sangat dialu-alukan bagi menyaksikan perlawanan sambil beramal.

“Program amal ini adalah idea  Datuk Peter bagi membantu bekas pemain yang pernah berjasa mengharumkan nama negeri Sabah tetapi kini sedang sakit.

“Bagi pihak pasukan, ini adalah antara pengisian selain latihan harian sempena saingan Liga Perdana yang berehat selama kira-kira tiga minggu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan Sabah merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Semenanjung sebagai pemanas badan.

“Perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Liga Super ini penting bagi memastikan momentum baik pasukan sekarang tidak terjejas oleh rehat panjang saingan Liga Perdana,” katanya.

Sumber : Berita sukan stadiumastro.com

Please follow and like us:
error