KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini melancarkan jersi pasukan itu bagi musim Liga Malaysia 2019/2020 yang akan membuka tirainya pada Februari depan.

Majlis pelancaran jersi berwarna merah dan putih tajaan syarikat Ararat Sports & Souvenirs Sdn. Bhd. itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pasukan Sabah yang sebelum ini sinonim dengan gelaran skuad Badak dalam kalangan peminat bola sepak negeri itu kini mempunyai imej baharu menerusi pemilihan Tambadau.

Definisi maskot itu menggambarkan Tambadau (Seladang) yang mempunyai sifat keberanian dan semangat membara memperjuangkan sesuatu dan sentiasa bersatu padu dengan kawanan lain untuk mempertahankan maruah dan kemenangan.

Logo Tambadau menggunakan warga merah, putih dan biru dengan slogan Biar Tunduk, Tapi Menanduk.

Dalam majlis itu, Mohd Shafie turut diperkenalkan kepada Ketua Jurulatih, Jelius Ating serta pemain-pemain yang akan beraksi dalam kempen Liga Perdana musim ini oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony dan Pengurus Pasukan, HeNry Soimpon.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Ewon Benedict dan Pembantu Menteri Kewangan, Kenny Chua.

Turut hadir ialah dua Timbalan Presiden SAFA iaitu Hamid Apdal dan Datuk Rahman Zakaria; Setiausaha Agung, Andrew Majanggim dan Bendahari Agung, Yap Wai Loon.

Bagi musim ini juga, SAFA membuat perubahan maskot dengan memilih Tambadau (seladang) bagi menggantikan sang Badak yang selama ini sinonim dengan skuad Sabah.

Dalam pada itu seramai 26 pemain telah mengesahkan tempat ke dalam pasukan termasuk pemain import dari Serbia, Rodoljub Paunovic yang dikekalkan musim ini.

Bagaimanapun, pihak SAFA masih lagi mengadakan rundingan untuk mendapatkan pengesahan beberapa lagi pemain import dari Indonesia, Brazil dan Korea Selatan dan keputusannya dijangka dimuktamadkan dalam dua hari ini. – SabahNewsToday

Sumber : https://www.sabahnewstoday.com/safa-lancar-jersi-liga-malaysia-2019-2020/

Please follow and like us: