SAFA: Jawatankuasa baharu SAFA diterajui Peter (tengah) bersama perwakilan yang hadir pada Kongres SAFA di Kota Kinabalu petang kelmarin.

KOTA KINABALU: Barisan baharu Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang diterajui Datuk Peter Anthony bertekad buka lembaran baharu dalam memartabatkan bola sepak negeri ini bermula tahun depan.

Beberapa perancangan telah digariskan selepas Kongres Tahunan badan induk bola sepak Sabah itu hari ini.

Kongres yang diadakan di sini berkenaan telah melengkapkan barisan jawatankuasa tertinggi bagi sesi 2019-2022 yang masih kosong termasuk Peter selaku Presiden dengan  sokongan seratus peratus menang tanpa bertanding.

Turut menang tanpa bertanding ialah Datuk Juil Nuatim untuk jawatan Timbalan Presiden.

Legenda bola sepak kebangsaan Sabah, Datuk James Wong dan bekas pemain negeri Henry Saimpon yang juga pengurus pasukan skuad senior Tambadau Sabah musim ini juga menang tanpa bertanding jawatan Naib Presiden.

SAFA memperuntukkan dua jawatan Timbalan Presiden dan empat jawatan Naib Presiden tetapi terdapat kekosongan ekoran perletakan jawatan mantan penyandangnya.

Seorang lagi Timbalan Presiden sedia ada ialah Dato’ Abdul Rahman Zakaria manakala dua Naib Presiden sedia ada ialah Benedict Asmat dan Ismail Ayub.

Sementara itu, terdapat tiga kekosongan yang diisi melalui pemilihan bagi melengkap senarai lapan Ahli Majlis Tertinggi (AMT).

Seramai sembilan calon bertanding untuk AMT dan tiga yang terpilih ialah Marassun Hasim, Salleh Abdul Ghaffur Salleh dan Mustapha Tuah.

Lima AMT sedia ada ialah Shamsudin Mohd Shah, Jimson Majemal, Othman Abdullah, Jackson Taguah dan Fadli Juanas.

Peter ketika ditemui selepas kongres yakin barisan baru SAFA tersebut mampu membuka lembaran baru yang sudahpun dimulakan sebaik beliau memangku jawatan presiden penghujung tahun lalu dengan menjulang Liga Premier musim ini.

“Melengkapkan jawatankuasa tertinggi pada kongres hari ini juga merupakan satu lagi langkah ke hadapan persatuan dan kami akan teruskan langkah ini dengan membuka lembaran baru bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini,” katanya.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, usaha yang dilakukan bukan sahaja untuk pasukan yang menyertai Liga Malaysia tetapi juga pembangunan bola sepak secara keseluruhannya.

“Geran yang SAFA dapat dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau MFL juga akan digunakan untuk pembangunan di peringkat akar umbi.

“Kita mahu ada kejohanan di setiap daerah atau bahagian tetapi semua ini perlu dibuat secara terancang,” katanya.

Menurutnya, pembangunan peringkat umur bermula seawal tujuh tahun juga akan diberi perhatian. “Begitu juga dengan pembangunan pengadil dan jurulatih,” katanya.

Beliau berkata, Sabah juga akan memohon tanah sendiri di tapak pejabat SAFA sekarang untuk pembinaan kemudahan bagi membantu melancarkan program pembangunan termasuk penyediaan bangunan asrama dan padang.

“Kita juga merancang untuk menganjurkan kejohanan  Piala Borneo membabitkan pasukan dari Kalimantan, Sarawak, Labuan dan Sabah.  Saya percaya kejohanan ini mampu membantu memperkasakan pasukan yang ada di Borneo termasuk Sabah,” katanya.

Jawatankuasa SAFA 2019-2022

Presiden:
Datuk Peter Anthony

Timbalan Presiden:
Dato’ Abdul Rahman Zakaria,
Datuk Juil Nuatim

Naib Presiden:
Benedict Asmat
Ismail Ayub
Datuk James Wong
Henry Saimpon

Setiausaha Agung:
Andrew Weddy Majanggim

Penolong Setiausaha Agung:
Andrew Laban

Bendahari Kehormat:
Yap Wai Loon

AMT
Shamsuddin Mohd Shah
Jimson Majemal
Othman Abdullah
Jackson Taguah
Fadli Juanas
Marassun Hasim
Salleh Abdul Ghaffur Salleh
Mustapha Tuah

 

Sumber : Utusan Borneo

Please follow and like us: