TAMBADAU Sabah tanpa khidmat Park Tae Su apabila melayani kunjungan Pulau Pinang dalam saingan Liga Premier di Stadium Likas pada Sabtu (30 Mac).

Ia bakal menyaksikan tugas barisan pertahanan Sabah akan digalas pemain tempatan dengan Mafry Balang dijangka mengisi tempat Park yang tidak dapat disenaraikan kerana menjalani penggantungan satu permainan ekoran telah mengumpul tiga kad kuning.

“Mafry adalah pilihan utama untuk mengisi tempat Park dan saya percaya beliau mampu melaksanakan tugas dengan baik terutama dengan pengalaman yang ada padanya selaku pemain paling senior dalam pasukan.

“Kami telah berlatih tanpa Park dan saya tidak nampak sebarang isu mengenainya. Saya percaya dengan kemampuan semua pemain yang ada…kita tidak boleh bergantung kepada seorang pemain,” kata ketua jurulatih, Jelius Ating ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau berkata, kekuatan pasukan juga adalah kerana mereka berkerja sebagai satu pasukan.

Kecuali Mafry, Jelius membayangkan akan mengekalkan kesebelasan biasanya termasuk Luiz Carlos Junior yang telah pulih dari kecederaan otot paha.

Mafry, 35, dijangka akan bergandingan dengan ketua pasukan Rawilson Batuil menggalas tugas pertahanan utama dan dibantu Randy Baruh Samson serta Dendy Lowa di kiri dan kanan.

Jentera tengah digerakkan Mohd Azizan Nordin bersama Sabri Sahar dan Maxsius Musa di bahagian sayap sementara Luka Milunovic sedikit di depan membantu jentera serangan yang disandarkan kepada gandingan Junior dan Rodoljub Paunovic.

Rozaimie Rohim pula dijangka akan terus dipikulkan tugas selaku penjaga gol utama.

Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu akan dijual di kaunter tiket Stadium Likas bermula jam 10 pagi Sabtu.

Tiket dijual dengan harga RM25 untuk kawasan tempat duduk berbumbung dan RM15 untuk kawasan tempat duduk terbuka.

 

Sumber : Media SAFA

Please follow and like us:
error