Peter (tiga dari kanan) menyerahkan dokumen kontrak kepada Kurniawan yang diumumkan secara rasmi sebagai ketua jurrulatih baharu Tambadau Sabah di Kota Kinabalu petang tadi.

KOTA KINABALU: Perlantikan Kurniawan Dwi Yulianto menamatkan teka-teki pengendali skuad Liga Super Tambadau Sabah menghadapi Liga Malasyia 2020.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony mengumumkan perlantikan itu dalam sidang media di Pejabat Sabah di Kompleks Sukan Kota Kinabalu petang tadi.

Peter berkata, Kurniawan diikat kontrak selama setahun dan kontrak itu akan dibincangkan semula selepas kempen Liga Malaysia 2020 selesai.

“Kurniawan mengikat kontrak dengan kita selama setahun dan sekiranya mencapai prestasi baik kontrak beliau akan disambung lagi mengikut persetujuan kedua-dua pihak,” katanya.

Kurniawan, 43, bukan asing dalam kancah bola sepak Malaysia kerana beliau pernah menyarung jersi Sarawak dalam saingan Liga Malaysia pada musim 2005 dan 2006.

Beliau juga bekas peyerang digeruni skuad kebangsaan Indonesia sebelum beralih tugs kepada jurulatih di mana dia dilantik sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Indonesia tahun lalu dan penolong jurulatih skuad bawah 23 tahun Indonesia tahun ini.

“Pemilihan Kurniawan selaku ketua jurulatih baharu adalah antara usaha SAFA memantapkan pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia 2020.

“Saya harap usaha yang telah, sedang dan akan kita lakukan ini dapat mengekalkan prestasi dan reputasi baik Tambadau Sabah selaku juara Liga Premier 2019. Saya yakin, kesepaduan semua, kita mampu membuat kejutan,” kata Peter.

Peter berkata, segala usaha yang dilakukan sekarang hanya menambah baik pasukan kerana barisan jurulatih dan pegawai lain psukan termasuk ketua jurulatih 2019, Jelius Ating masih bersama pasukan.

Jelius tidak dapat meneruskan khidmat sebagai ketua jurulatih belum memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang diwajibkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM ) bagi mengendalikan skuad Liga Super bermula tahun depan.

Peter berkata, Jelius akan terus bersama pasukan sebagai penolong jurulatih manakala pembantunya, Burhan Ajui juga dikekalkan.

“Terima kasih kepada SAFA kerana memberi kepercayaan kepada saya membawa pasukan Sabah. Bukan tugas mudah tetapi saya percaya bawah ini bukan tugas saya seorang tetapi semua anggota pasukan yang perlu bergerak sebagi satu unit,” kata Kurniawan.

Turut menyertai Kurniawan dari Indonesia dalam kem Sabah ialah Sofie Imam Faizal selaku jurulatih kecergasan.

Sementara itu, Peter turut mengesahkan bekas pemain kebangsaan dan Pahang, Muhammad Zubir Mohd Azmi serta bekas penjaga gol Terengganu FC, Wan Muhammad Azraei Wan Teh sebagai pemain import tempatan mereka yang baru.

“Selain itu, kita turut menyerapkan penjaring terbanyak Liga KDM Malaysia yang berakhir baru-baru ini, Shahrizam Sahar dari pasukan Semporna bagi memperbanyakkan lagi pilihan di bahagian serangan.

“Kita juga sedang dalam proses terakhir untuk mendapatkan dua pemain import yang akan kita umumkan kemudian dan bagi satu lagi slot import pemain Asia Tenggara, kita masih mencari pemain sesuai.

“Bagaimanapun, pasukan masih mempunyai masa untuk melengkapkan pasukan selewat-lewatnya awal Januari depan dan saya boleh katakan skuad Tambadau ketika ini sudah 70 peratus lengkap,” katanya.

Tambah beliau lagi, seramai 20 pemain daripada musim lalu termasuk dua pemain import iaitu Rodoljub Paunovic dan Park Taesu dikekalkan untuk saingan musim depan.

Muka lama lain masih dalam senarai ialah Rozaimie Rohim, Dendy Lowa, Evan Wensley Wenceslaus, Jenius Karib, Mafry Balang, Randy Baruh Samson, Rawilson Batuil, Alto Linus, Maxsius Musa, Mohd Azizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Sabri Sahar, Ummareng Bacok, Hamran Peter, Mohd Azwan Abd Fattah, Mazlan Yahya, Ariusdius Jais dan Mohd Shukri Baharun.

Turut bersama dalam sidang media itu ialah Naib Presiden SAFA yang juga pengurus pasukan, Henry Saimpon dan Setiausaha Agung SAFA, Andrew Majanggim.

 

 

 

Sumber : Media SAFA

Please follow and like us: