26.3.2019

KOTA KINABALU: Ia adalah kunjungan berbaloi Tambadau Sabah ke Semenanjung dengan tiga perlawanan persahabatan minggu lalu.

Ketua jurulatih, Jelius Ating berkata, ia bukan sahaja memberi ujian baik tetapi membantu pasukan mengekalkan momentum baiknya.

“Terima kasih kepada pengurusan terutama Presiden SAFA Datuk Peter Anthony kerana membolehkan pasukan mendapat perlawanan persahabatan yang diperlukan itu. Ia adalah kunjungan yang sangat berbaloi,” kata Jelius ketika dihubungi di sini, Selasa.

Menurutnya, dua pertemuan dengan Melaka United dan sekali dengan Selangor PKNS FC banyak membantu terutama dalam persediaan Tambadau Sabah meneruskan saingan Liga Premier menentang Pulau Pinang di Stadium Likas Sabtu ini.

Dua perlawanan dengan Melaka United menyaksikan pasukan utama Tambadau Sabah tewas 2-0 perlawanan pertama tetapi pasukan kedua menebusnya dengan kemenangan jaringan sama pada pertemuan kedua.

Pasukan utama juga kemudiannya menunjukkan mereka masih dengan momentum baik apabila menundukkan Selangor PKNS 1-0 pada perlawanan persahabatan terakhir.

Gol Tambadau Sabah ketika menentang Melaka dijaringkan Stanley Sulong dan Melky Balang manakala gol tunggal ketika menentang PKNS dijaringkan Rodoljub Paunovic.
Tambadau Sabah kini di kedudukan kedua carta Liga Premier dengan 11 mata selepas enam perlawanan dengan rekod tiga menang dua seri dan satu kalah. Sabah tanpa kalah lima perlawanan berturut-turut.

Ditangga teratas adalah pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dengan 13 mata manakala dua pasukan di bawah Sabah ialah pasukan UiTM FC dan Selangor United yang masing-masing telah mengumpul 10 mata.

 

Sumber : Media Safa

Please follow and like us:
error