Peter (tengah) bersama barisan ahli majlis tertinggi SAFA ketika sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif SAFA

Ganjaran menanti Sabah sekiranya mereka berjaya menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi pasukan itu dengan menjuarai Liga Perdana, musim ini.

Bagaimanapun, pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, belum mahu mendedahkan bentuk ganjaran yang bakal diberikan, sebaliknya mahu skuad kendalian Jelius Ating itu terus fokus bagi menyelesaikan baki empat perlawanan dengan keputusan baik.

“Sabah kini berada di landasan baik untuk muncul sebagai juara, kita akan meghadapi dua aksi di gelanggang lawan iaitu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) seterusnya bertemu UiTM FC pada 9 Jun depan dan kita sangat berharap dalam aksi terakhir kita bermain di Stadium Likas, kita sudah boleh dinobatkan sebagai juara.

“Mudah-mudahan, jika Sabah menjadi juara, kita akan memikirkan ganjaran yang akan diberikan kepada pasukan, dan saya percaya Ketua Menteri (Datuk Mohd Shafie Apdal) akan mengumumkan sesuatu nanti.

“Bagaimanapun itu bukanlah perkara utama ketika ini, kita tidak mahu persiapan kita terjejas kerana terlalu memikirkannya (ganjaran), Apa yang penting mereka terus fokus, sudah begitu lama Sabah tidak memenangi sebarang piala, ini adalah peluang terbaik kita,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Peter berkata, pasukan Sabah kini berada di tahap yang terbaik untuk memburu kejuaraan pada musim ini dan beliau juga setakat ini gembira dengan prestasi yang ditunjukkan mereka.

“Sebelum ini kita boleh dikatakan sebagai pasukan ‘underdog’ tetapi sekarang kita telah membuktikan betapa Tambadau juga adalah pesaing utama kejuaraan, musim ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Peter berkata, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan diadakan pada 16 Julai depan bagi memutuskan tarikh kongres persatuan akan datang.

“Dalam EGM itu nanti juga, kita akan membincangkan beberapa perkara penting termasuk pindaan terhadap beberapa perlembagaan bagi mengemas kini serta memantapkan lagi SAFA,” katanya.

Dalam pada itu, Peter turut mengumumkan akan bertanding jawatan presiden pada kongres akan datang namun berkata ia terpulang kepada wakil ahli gabungan untuk menentukannya.

“Jika ada pertandingan jawatan presiden dan juga jawatan-jawatan lain, kita akan adakan secara terbuka.

“Ya saya akan bertanding (jawatan presiden SAFA), tetapi bagi saya jawatan itu tidak penting, apa yang penting adalah pengurusan yang baik,” katanya.

Sumber : Media Safa

Please follow and like us:
error