Julius Ating (Tengah)

KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Tambadau Sabah, Jelius Ating berkata, kemenangan ke atas UiTM FC di Stadium Likas malam esok (Sabtu) adalah cara terbaik membaiki keadaan yang tidak baik ekoran dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Menurutnya, mereka telah berkerja-keras dalam latihan bagi memastikan rentak kemenangan yang hilang dalam dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini kembali dapat didendangkan di Stadium Likas.

Sebelum ini Tambadau Sabah kalah ditangan Kelantan United (Piala FA) dan Selangor United (Liga Premier) di tempat lawan.

Jelius akui menentang UiTM FC adalah perlawanan mencabar baginya kerana bukan sahaja masih terasa kesan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini tetapi juga dengan ketiadaan sekurang-kurangnya empat tonggak utama.

“Ya memang saya akui, dua kekalahan berturut-turut telah memberi sedikit kesan terhadap semangat pasukan, namun, saya tidak pernah berhenti untuk memberikan mereka (pemain) kata-kata semangat.

“Perlawanan esok (malam ini) penting kerana disamping mahu mengukuhkan kedudukan dalam liga, kita juga mahu mengembalikan keyakinan kita. Memenangi perlawanan esok adalah cara terbaik membetulkan keadaan yang tidak baik dari dua kekalahan sebelum ini,” katanya.

Bukan tugas mudah, tambahan pula mereka tanpa empat pemain utama tetapi Jelius tidak mahu ia dijadikan alasan untuk pasukan tidak mampu memberikan yang terbaik.

“Kita akan kehilangan khidmat ketua pasukan iaitu Rawilson (Batuil) dan Azizan (Nordin) kerana menjalani penggantungan satu permainan ekoran telah mengumpul tiga kad kuning. Maxsius (Musa) juga mungkin terpaksa diketepikan akibat kecederaan selain Sabri (Sahar) yang mungkin akan terlepas aksi sehingga habis musim kerana kecederaan teruk di kaki.

“Pengganti Sabri sebelum ini iaitu Ricco (Nigel Milus) juga belum pasti dapat diturunkan kerana turut dalam senarai kecederaan,” katanya.

Apapun, Jelius yakin pemain gantian yang akan beraksi mampu melaksanakan tugas dengan menjadikan perlawanan malam ini sebagai peluang membuktikan yang mereka juga layak beraksi sebagai kesebelasan utama.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai benteng terakhir manakala Maffry Balang menggantikan Rawilson di bahagian pertahanan dan sebagai ketua pasukan. Pertahan lain ialah Park Tae Su, Randy Baruh dan Dendy Lowa.

Luka Milunovic dijangka terus mengemudi bahagian tengah bersama gandingan baru, Jenius Karib, Alto Linus dan Muhammad Mohd Safar yang dijangka mengambil tempat Azizan, Maxsius dan Ricco manakala jentera serang kekal disandarkan kepada gandingan Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic.

Sebagai rekod, dua pertemuan kedua-dua pasukan musim lalu berpihak kepada Sabah. Sabah menang 3-1 ditempat lawan dan menang 3-0 di tempat sendiri.

Tambadau Sabah kini di kedudukan kedua dengan 14 mata manakala UiTM FC di tangga ketiga dengan 13 mata.

 

Sumber : Media SAFA

Please follow and like us:
error